Hafizh Tamatkan Saingan Di Tempat Ke-10 Pelumba Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah sekali lagi menampilkan prestasi membanggakan untuk menamatkan saingan di tempat ke-10 pada perlumbaan Moto2 Grand Prix (GP) Argentina di Litar Termas de Rio Hondo, pada Ahad. Hafizh yang bermula di petak ke-16 pada grid, terus memecut untuk berada di kelompok hadapan di posisi kesembilan pada pusingan awal sebelum Simone Corse dari Itali terbabas di hadapannya sehingga mengakibatkan Hafizh nyaris terkeluar pada perlumbaan tersebut. Berikutan insiden itu, Hafizh jatuh semula di tempat ke-12 sebelum berusaha keras untuk berada di posisi ke-10 pada perlumbaan sejauh 23 pusingan itu dengan catatan 39 minit 55.813 saat, mengatasi Luis Salom dan juara bertahan Moto2, Tito Rabat, yang masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-11 dan 12. "Perlumbaan menarik dan keputusan yang baik di Argentina. Kedudukan ke-10 amat memuaskan bagi pasukan memandangkan kami menghadapi masalah tayar semasa latihan pada Jumaat," kata Hafizh. Selepas empat pusingan, Hafizh mengumpul 20 mata untuk berada di kedudukan kesembilan dalam Ranking Dunia Moto2. Sementara itu, pelumba Idemitsu Honda Team Asia, Azlan Shah Kamaruzaman yang bermula di petak ke-25, berjaya memperbaiki kedudukan dengan menamatkan saingan di tempat ke-17 pada perlumbaan mencabar 23 pusingan itu dengan masa 40'11.034s. "Perlumbaan amat sukar, namun saya berpuas hati dengan kualiti perlumbaan saya di Argentina. Saya hampir menduduki tempat ke-15 untuk memperoleh mata dan berupaya mengekalkan rentak tunggangan sepanjang minggu itu. Saya tekad meraih mata pada perlumbaan akan datang dengan prestasi yang saya tampilkan ini," kata Azlan. Pelumba JPMoto Malaysia, Zaqhwan Zaidi yang bermula di petak ke-30, menamatkan perlumbaan di tempat ke-27 dengan catatan 40'51.238s. Perlumbaan GP Argentina dimenangi pelumba Perancis, Johann Zarco yang mendahului saingan dari awal hingga penamat, untuk meraih kemenangan kelas pertengahan pertamanya dengan masa 39'44.497s, manakala Alex Rins dan Sam Lowes masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga. Keputusan Perlumbaan Moto2: 1. Johann Zarco (FRA) 39'44.497s 2. Alex Rins (SPA) 39'47.212s 3. Sam Lowes (GBR) 39'48.658s 4. Mika Kallio (SWI) 39'49.807s 5. Franco Morbidelli (ITA) 39'52.445s . . . 10. Hafizh Syahrin (MAS) 39'55.813s 17. Azlan Shah (MAS) 40'11.034s 27. Zaqhwan Zaidi (MAS) 40'51.238s sumber:www.stadiumastro.com
|
ADVERTISEMENT