PDRM buktikan mampu cabar kejuaraan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) kembali menerajui carta Liga Super selepas melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Terengganu pada aksi di Stadium Shah Alam, malam ini.
Kemenangan tersebut membolehkan PDRM yang sebelum ini berada di kedudukan ketiga, memintas Selangor dan Felda United FC (FUFC) dengan kutipan 18 mata selepas sembilan perlawanan liga.
Tiga gol skuad 'The Cops' dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ketujuh, Dramane Traore (17') dan Ali Ashfaq pada minit ke-20 manakala gol tunggal Terengganu dihasilkan oleh pemain import dari Kanada, Issey Nakajima-Farran pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.
Pahang turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan FUFC 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menerusi gol tunggal penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit ke-53.
Di Stadium Jalan Besar, Singapura, pasukan Lions XII turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak hasil jaringan Muhammad Khairul Nizam Mohamad Kamal pada minit ke-59.
Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sime Darby FC berkongsi satu mata setelah terikat 1-1.
Jerry Palacios meletakkan ATM di hadapan pada minit ke-29 sebelum Nemanja Vidakovic menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-45.
sumber:www.stadiumastro.com
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|