Bangkok: Seorang wanita Thailand yang tinggal di kondominium bertindak memotong tali keselamatan dua tukang cat dan membiarkan mereka tergantung di tingkat 26 di luar bangunan.
Media tempatan melaporkan wanita itu menghadapi pertuduhan cubaan membunuh dan merosakkan harta benda. Menurut Ketua Polis Pak Kret Kolonel Pongjak Preechakarunpong mengesahkan kejadian itu, tetapi tidak memperincikan motif suspek memotong tali keselamatan itu. Tetapi media Thailand melaporkan suspek kelihatan marah ketika melihat pekerja itu di luar biliknya.
Dia mendakwa tidak diberitahu tukang cat akan melakukan pengecatan secara berulang. Bagaimanapun, pengurusan kondominium sudah menampal notis pengubahsuaian dan penyelenggaraan pada 12 Oktober. Satu klip video di media sosial menunjukkan dua tukang cat meminta orang awam di tingkat 26 untuk membuka tingkap dan membiarkan mereka masuk. Seorang tukang cat adalah warga Myanmar bernama Song. Kepada media Thailand, Song mengaku dia dan rakannya turun dari tingkat 32 untuk memperbaiki keretakan pada bangunan. Ketika tiba di tingkat 30, dia berasa talinya lebih berat. Ketika melihat ke bawah, dia melihat seseorang di tingkat 21 membuka tingkap dan memotong talinya. Dia cuba meminta bantuan daripada unit lain, tetapi tidak ada orang di dalam. "Rakan ketiga terus menarik mereka daripada tingkat atas," kata Praphaiwan Setsing, individu yang menyelamatkan mereka. Praphaiwan mengatakan suaminya melihat seorang tukang cat memberi isyarat minta tolong dan memanggilnya untuk berbicara dengan mereka. "Insiden ini sangat mengejutkan dan seharusnya tidak terjadi sama sekali," katanya. Pengurusan kondominium menemani tukang cat untuk melaporkan kejadian itu kepada polis. Wanita berusia 34 tahun itu pada awalnya menyangkal dia bertanggungjawab dalam insiden itu, tetapi polis memperoleh bukti terdapat cap jari suspek di tali yang terputus. Rabu lalu, wanita terbabit dan peguamnya muncul di pejabat polis dan selepas polis menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan bukti forensik, dia mengaku melakukannya, tetapi tiada niat untuk membunuh. Wanita Thailand itu boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun jika terbukti bersalah atas tuduhan cubaan membunuh. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT