Berbaki kurang dua bulan sebelum memasuki 2022, aktor tampan, Fadlan Hazim enggan mengenang segala kisah duka yang tercoret pada relung hatinya.
Bagi jejaka berusia 29 tahun itu, dia mahu terus fokus menjalani kehidupan yang mendatang dengan kisah indah yang bakal tercipta pada 2022. Kata Fadlan, selepas hampir 10 tahun dalam industri seni tanah air, dia mahu merencana kembali perjalanan seninya dan mahu menikmati kejayaan dalam karier. "Tahun depan kalau boleh saya nak 'pukul habis' sebab selama hampir 10 tahun dalam industri seni hiburan, saya belum pernah berasa kejayaan besar dalam kerjaya ini.
"Ditambah pula dengan wabak Covid-19 yang melanda hampir dua tahun, saya nak cuba mencipta kejayaan baharu dan lebih mendekati peminat yang selama ini tidak putus-putus menyokong perjalanan seni saya. "Kalau boleh tahun depan juga saya nak cuba tampilkan sesuatu pembaharuan dalam hidup. Saya nak kehadiran saya di kaca TV meninggalkan impak yang positif," katanya.
Siapa sangka selama hampir sedekad memahat bakat sebagai pelakon, Fadlan kini diberi peluang besar untuk memegang karakter utama di slot Akasia TV3. Kata Fadlan, dia begitu menantikan detik bersejarah itu dalam karier seninya dan tidak menyangka peluang keemasan berkenaan masih ada untuk dirinya.
"Insya-Allah hujung bulan ini saya mula menjalani penggambaran drama Sayang Tak Dikenang untuk slot Akasia TV3. "Saya amat bersyukur kerana pihak TV3 memberi saya peluang ini. Lama saya menunggunya kerana sebelum ini selalu berusaha menarik perhatian pihak stesen TV dan penerbit dengan membuktikan kemampuan dan bakat lakonan saya. "Walaupun selama beberapa tahun ini saya boleh dikira agak lewat berbanding rakan-rakan artis seangkatan lain, tapi saya berasa lega dan syukur dengan segala nikmat rezeki ini. "Sekarang, ini adalah tanggungjawab yang besar kepada saya untuk mengalasnya dengan sebaik mungkin. Saya perlu buktikan yang pilihan dibuat tidak salah dan meninggalkan impak luar biasa,"katanya.
Beralih mengenai penampilan baharunya yang kelihatan lebih 'sado' dan bergaya di media sosial, Fadlan mengakui kini dia 'pasang badan' untuk tampil lebih menarik. Katanya, jika sebelum ini dia mempunyai banyak kekangan dan masalah, namun sekarang sudah bersedia untuk mempersiapkan dirinya dengan lebih baik. "Ya saya nak tampil lebih menarik. Sebelum ini memang boleh buat badan, tapi banyak perkara yang menghalang seperti masalah depresi yang saya hadapi sebelum ini. "Kini saya sudah pun pulih sepenuhnya dan bebas daripada segala toksik di dunia ini. Saya ingin fokus kepada diri sendiri. "Lagipun saya bukan makin hari makin muda, jadi saya perlu pentingkan penjagaan diri kerana saya nak 'duduk lama' dalam bidang ini lagi," katanya.
Ditanya apakah perancangan yang ingin dilakukan pada masa mendatang, Fadlan mengakui dia mahu menceburi bidang pengacaraan. "Tahun depan saya ada beberapa perancangan seperti nak cuba mengacarakan program sendiri. Kalau ada peluang, saya suka nak hoskan program travelog. "Saya suka kalau peminat tidak hanya melihat saya sebagai pelakon, kalau boleh saya nak jadi personaliti versatil yang boleh membawakan pelbagai cabang kerjaya," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|