Bakat nyanyian gadis India Muslim ini membolehkan dia mengumpul peminat tersendiri di media sosial.
Menurut Shameera Mardiana Mohamad Haniffa, 21, dia terharu dan rasa dihargai apabila bakatnya menjadi perhatian ramai tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. Katanya, ia sekali gus membakar semangatnya untuk terus menyanyi. Biarpun ada yang keliru mengenai identitinya, dia yang mesra disapa Shameera tidak berkecil hati sebaliknya cuba memberi penjelasan agar tiada lagi kekeliruan pada masa akan datang.
"Saya sebenarnya dah lama kongsi video nyanyian di TikTok, namun baru-baru ini video saya mula mendapat perhatian ramai. "Dulu saya kongsi video nyanyian di Instagram, kemudian saya kongsi juga di TikTok. Yang request lagu pun banyak. Ada juga mereka minta saya nyanyi lagu yang saya pun tak pernah tahu. Saya akan cuba penuhi permintaan itu. "Alhamdulillah, komen-komen juga semua OK. Setakat ini saya tidak menerima komen negatif. Saya melihat TikTok sebagai satu platform yang bagus. "Melalui TikTok juga saya dapat buat latihan dan asah bakat nyanyian," ujar anak keempat dari lima beradik itu yang menetap di Pulau Pinang kepada mStar. Selain berkongsi video nyanyian di media sosial, Shameera juga sering membuat persembahan bersama live band di acara-acara tertentu. Imbas Shameera, minat itu sebenarnya sudah berputik sejak berusia lima tahun dan dia juga sering menyanyi setiap kali ada acara di sekolahnya. "Kadang-kadang buat persembahan di restoran, majlis kahwin, majlis hari lahir dan sebagainya. Menyanyi pada saya bukan sekadar hobi tapi ia merupakan passion yang mengalir dalam jiwa," ujarnya. Antara video cover oleh Shameera yang menerima pujian ramai tentunya lagu Suci Dalam Debu dendangan asal Allahyarham Saleem Iklim yang dibuat dalam bahasa Melayu dan Tamil. Kata Shameera, gubahan lirik baharu itu dihasilkan oleh bapanya, Haniff Razak yang juga seorang komposer. "Terima kasih atas sokongan, saya sayang anda semua. Tanpa anda, siapalah saya," ujar Shameera. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT