Seremban: Bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas dilaporkan lemah ketika berada di rumah pengasuhnya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang di sini, petang semalam.
Terdahulu, pengasuh itu menghubungi ibu bayi berkenaan pada 4.50 petang yang memintanya supaya segera ke rumahnya kerana bayi berkenaan dalam keadaan lemah. Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan laporan daripada ibunya bayi berkenaan yang berusia 24 tahun, sebaik tiba di rumah itu didapati anaknya berada dalam keadaan pucat dan tiada tindak balas ketika cuba dikejutkan. "Bayi itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan dan diberikan bantuan pernafasan (CPR)," katanya ketika dihubungi hari ini. Nanda berkata, wanita itu kemudiannya dimaklumkan oleh petugas hospital bahawa anaknya gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit diberi rawatan. "Punca kematian belum diketahui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT