Seorang lelaki melakukan aksi terjun dalam Sungai Kelantan dari landasan kereta api di Kampung Gertak Chaber di sini yang terjejas akibat limpahan air bah kelmarin.
Aksi lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 20-an itu dilakukan jam 6.10 petang sebelum dirakam orang ramai. Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 35, berkata, dia memandu kereta melalui kawasan jambatan itu sebelum ternampak seorang lelaki meniti di tepi landasan dan terjun ke dalam sungai.
“Air sungai deras, tidak jauh dari tempat lelaki itu terjun, terdapat sekumpulan penduduk mandi air bah,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memberitahu, tindakan lelaki itu mengundang bahaya dan beliau mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak teruja bermain air bah kerana khuatir kejadian yang tidak diingini. “Kelantan masih di peringkat awal musim bah dan berkemungkinan penduduk teruja bermain banjir. Saya sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah meningkatkan pemantauan bagi mengekang kejadian tidak diingini,” katanya. Sumber: K! ONLINE
|
ADVERTISEMENT