Bagi yang mengikuti perjalanan kehidupan pasangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, pastinya tidak berasa pelik dengan tindak-tanduk kedua-dua mereka yang gemar naik pelamin saban tahun.
Bahkan sejak tahun 2019, kedua-duanya seakan sudah menjadikan persandingan semula sebagai satu majlis wajib diadakan sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan mereka. Pun begitu, tahun ini menyaksikan sedikit kehambaran pada hasrat aktres yang selesa dikenali sebagai Che Ta ini lantaran tahun ini dia sekeluarga diuji dengan pengalaman Covid-19.
“Pandemik pun, kami tetap nak bersanding semula. Tahun ini sempat juga melaram dengan baju songket warna merah hati rekaan Man Kajang untuk sesi fotografi. “Tahun lalu kalau ada yang masih ingat, kami menggayakan songket berwarna hijau rekaan pereka fesyen sama. Masa itu, fotografi dibuat di Langkawi dalam suasana kenduri dan persandingan ala kampung. “Sampai siap diarak dengan paluan kompang. Zain pun siap bertanjak dan berkeris. Kawan baik saya ketika itu jadi ‘ekstra’ tukang palu kompang. Cuma majlis kali ini memang cukup sederhana kerana situasi semasa pandemik. Tapi tetap nak rasai mood jadi pengantin dengan mengenakan gaun rona putih,”katanya.
Che Ta juga mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan isu jarang berkongsi gambar suaminya di media sosial. “Mungkin ada yang tak tahu bahawa Zain ini bukanlah seorang kaki bergambar. Berbeza dengan saya, semua orang tahu saya pula memang suka bergambar dan melaram. Hampir setiap hari ada sahaja hantaran di Instagram yang saya muat naik. “Tahun lalu masa sambutan ulang tahun hari lahir saya, tak nampak kelibat suami pun ada yang buat kesimpulan itu ini. Hakikatnya suami terikat dengan penggambaran drama.
“Dalam hal begini saya tak boleh kawal apa pandangan orang lain. Saya ambil pendekatan tidak peduli kerana orang hanya nampak luaran dan apa yang saya kongsi di IG saja. Saya bersetuju dengan pandangan yang anggap soal kebahagiaan atau kesengsaraan itu tak perlu dipamer di media sosial,” katanya. Sumber: Utusan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|