27,000 tentera Britain tidak bersedia untuk berperang disebabkan pelbagai faktor membabitkan masalah kesihatan.
Pendedahan itu dibuat Kementerian Pertahanan Britain, lapor The Sun seperti dipetik Kosmo Online. Menerusi laporan dikeluarkan Freedom of Information, lebih 13,000 tentera darat, laut dan udara tidak bersedia meninggalkan Britain untuk menjalani operasi ketenteraan disebabkan kesihatan fizikal atau mental. Manakala 13,786 lagi diklasifikasikan sebagai mempunyai kekangan dari segi perubatan. Mereka boleh meninggalkan Britain, tetapi tidak dapat berada dalam mana-mana operasi pertempuran.
Kebanyakan mereka mengalami kecederaan sama ada patah tulang, kerosakan otot, ligament terkoyak dan kecederaan tulang belakang. Bagaimanapun, 4,000 tentera lagi dikatakan mengalami masalah kesihatan mental. “Agak mengejutkan apabila satu perlima daripada tentera kita tidak cergas sepenuhnya dan tidak bersedia untuk ditempatkan bagi berperang, terutamanya dalam keadaan saiz pasukan yang kecil sekarang. "Kerajaan perlu mengambil tindakan untuk ‘melepaskan’ mereka yang sukar untuk pulih dan akan menggantikan mereka," kata bekas komander Tentera British, Richard Kemp. Di sebalik data tersebut, Britain masih mempunyai lebih 110,000 tentera yang sihat dari segi perubatan dan bersedia untuk berperang. “Sekitar 90 peratus tentera kita boleh dikerahkan pada bila-bila masa. Bagi kebanyakan yang tidak dapat dikerah, ia hanya langkah sementara,” kata Kementerian Pertahanan. - CARI
|
ADVERTISEMENT