Seorang petugas di lapangan terbang Mauritius, Afrika Timur menjumpai bayi baru dilahirkan di dalam tong sampah tandas kapal terbang.
Ekoran kejadian, suspek wanita berusia 20 tahun yang melahirkan anak ketika dalam penerbangan sudahpun ditahan untuk siasatan lanjut.
BBC melaporkan, pesawat Air Mauritius yang tiba dari Madagascar, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam pada 1 Januari lalu.
Pegawai lapangan terbang menemui bayi berkenaan ketika membuat pemeriksaan rutin kastam sebelum mereka membawa bayi itu ke hospital untuk rawatan.
Wanita yang disyaki ibu kepada bayi tersebut pada mulanya menafikan perbuatannya itu, namun setelah pemeriksaan kesihatan dijalankan, doktor mengesahkan dia baru saja melahirkan anak.
Dia yang tiba di Mauritius dengan permit kerja dua tahun diletakkan di bawah pengawasan polis di hospital dan akan disoal siasat atas kesalahan buang bayi.
Difahamkan, kedua-dua ibu dan bayi dalam keadaan sihat. - CARI