Sekumpulan pemain golf terkejut kerana mereka mendapat tetamu yang tidak diundang iaitu seekor ketam gergasi ketika sedang bermain di sebuah padang golf di Pulau Krismas, Australia.
Rakaman kejadian itu dimuat naik ke laman rangkaian sosial Reddit pada Ahad lalu yang menunjukkan ketam tersebut memanjat sebuah beg golf di pulau itu yang terletak kira-kira 1,500 kilometer dari daratan Australia. Seorang lelaki, Paul Buhner membuat rakaman video itu dengan menyatakan bahawa kumpulan pemain golf tersebut baharu saja kembali dari lubang keenam sebelum mereka berlari ke arah haiwan raksasa itu.
Menurutnya, dia membuat rakaman itu pada tahun 2020 tetapi berasa terkejut apabila mendapati ia mula muncul di laman perkongsian video Reddit pada Ahad lalu. Ketam itu dikenali penduduk tempatan sebagai ketam kelapa dan beratnya boleh mencecah sehingga empat kilogram dan lebar satu meter. Penduduk tempatan akan menyangkut beg mereka di dahan pokok bagi mengelak ia dipanjat haiwan tersebut. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT