Seorang askar Paraguay maut selepas diserang seekor rusa di taman istana presiden negara itu. Sarjan Victor Isasi, 42, meninggal dunia selepas dadanya cedera tertusuk tanduk haiwan itu.
Media melaporkan, paru-paru Isasi cedera akibat tusukan haiwan tersebut. Menurut BBC, rusa berkenaan adalah hadiah kepada kediaman presiden yang terletak berhampiran ibu negara. Jurucakap tentera berkata, rusa itu biasanya diletakkan di kawasan berasingan dengan haiwan liar lain.
CCTV merakam detik-detik ketika askar berkenaan menghampiri rusa tersebut sebelum diserang. Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital tentera. “Menerusi kamera keselamatan anda boleh melihat mangsa memasuki kawasan haiwan ini berada dan dia membuat pergerakan (mengangkat tangan) yang menimbulkan reaksi rusa,” kata jurucakap tentera, Kolonel Victor Urdapilleta. Ketika itu, katanya, Isasi melakukan rondaan rutin. Haiwan itu adalah rusa axis dari India, menurut Pengarah Hidupan Liar di Kementerian Alam Sekitar, Frederick Bauer. Ia adalah salah satu daripada banyak haiwan yang dipelihara di taman seluas 10 hektar di kediaman rasmi Presiden Mario Abdo Benitez. Sumber: MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT