Tidak setuju divaksin, wanita didakwa menculik dua anak lelakinya. Wanita berusia 46 tahun itu dikehendaki kerana menculik kanak-kanak selepas bekas suaminya yang tinggal berhampiran bandar selatan Seville, memfailkan aduan kepada polis pada pertengahan Disember lalu, lapor AFP.
Dia didakwa membawa kanak-kanak lelaki berusia 14 dan 12 tahun tanpa kebenaran. Lelaki itu berkata, dia tidak melihat anaknya itu sejak 4 November lalu, selepas dia menerima surat daripada bekas isterinya mengatakan rancangannya untuk memberhentikan mereka dari sekolah.
Ia beberapa hari selepas mahkamah memutuskan lelaki itu mempunyai hak menentukan sama ada anak-anaknya itu perlu diberi vaksin. Wanita itu menyerah diri kepada pihak berkuasa pada pagi Rabu di Seville bersama dua kanak-kanak lelaki itu dan hakim memerintahkan dia direman sementara menunggu kesnya dibicarakan. Kedua-dua remaja bawah umur itu diserahkan kepada bapa mereka pada petang Rabu, kata jurucakap pasukan polis Guardia Civil Sepanyol. Sepanyol bersama beberapa negara Eropah lain mula memberi vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun pada 15 Disember lalu. Setakat ini, ia tidak mempunyai pergerakan antivaksin yang ketara. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT