Pengarah yang juga produser terkenal, Michael Ang tetap bangga dengan pencapaian diri selepas melancarkan single sulungnya yang berjudul Cinta Atau Propa.
Michael atau nama lengkapnya, Michael Ang Hai Swee, mengakui suaranya mungkin tidak sesedap seperti suara penyanyi profesional, namun tidak juga teruk sehingga boleh membuatkan pendengar ‘muntah’ mendengar lagu nyanyiannya. “Iya, suara saya tidaklah sedap sangat. Tapi saya cuba buat yang terbaik. Selepas dengar saya rasa suara sendiri tidaklah teruk sangat sehingga boleh membuatkan pendengar muntah,” katanya. Michael yang cukup dikenali kerana kelantangannya juga sudah bersedia dengan sebarang kritikan umum. Baginya, setiap individu mempunyai hak untuk mengkritik.
“Semua orang ada hak untuk mengkritik. Saya juga banyak mengkritik. Kalau saya dengan seseorang penyanyi itu menyanyi tidak sedap, saya akan kritik terutama ketika pertandingan. Saya hanya kritik penyanyi yang memasuki pertandingan. “Saya tidak pernah kritik tentang lagu jika seseorang artis itu mengeluarkan lagu baharu. Sama juga kalau saya buat drama dan orang kritik drama saya. Saya tidak boleh marah dan tidak pernah marah sebab itu hak mereka (penonton). “Jadi bila saya mengambil keputusan untuk keluarkan lagu, saya kena bersedia untuk menerima kritikan orang dan saya harus terima jika dikritik,” katanya.
Disoal, adakah Cinta Atau Propa ditujukan kepada mana-mana pihak, Michael ketika ditemui semasa sidang media virtual hari ini berkata, sejujurnya dia tidak berniat menyindir sesiapa. Namun, dia tidak dapat berbuat apa-apa jika ada pihak mungkin tersinggung dengan lagu berkenaan. “Saya tidak tujukan lagu ini kepada sesiapa. Sejujurnya lagu ini tidak ada kena mengena dengan siapa pun. Saya tujukan lagu ini kepada pekerja-pekerja saya dan tentang kehidupan peribadi saya. “Jadi kalau ada yang tersinggung, siapa makan cili, dialah terasa pedasnya,” kata Michael.
Tambah Micheal, dia mengambil keputusan untuk merakamkan single Cinta Atau Propa kerana mahu mencabar diri, selain menguji tahap kemampuannya. “Saya telah buat pelbagai perkara daripada berlakon, mengarah, menulis skrip, memasak dan menjadi penerbit. Hanya ada tiga perkara lagi yang belum saya lakukan iaitu menyanyi, menulis lagu dan menulis lirik. “Saya pernah cakap pada diri sendiri sebelum ini bahawa menyanyi adalah satu-satunya perkara yang saya tidak akan buat kerana langsung tidak yakin dengan suara sendiri. “Tapi nampaknya sekarang hanya tinggal dua lagi perkara yang saya ingin buat (tulis lagu dan lirik) selepas ini,” ujarnya.
Pada masa sama, pengarah drama Marry Me Senorita itu turut menafikan bahawa dia mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayarnya kepada syarikat rakaman Indigital Music supaya diberi peluang merakamkan lagu. “Apa yang paling penting, saya tidak membayar ya! Saya tidak keluar duit sendiri. Maknanya saya tidak tergedik-gedik nak keluarkan single sendiri,” jelasnya.
Terdahulu, Michael menarik perhatian ramai pihak selepas melancarkan muzik video single sulungnya berjudul Cinta dan Propa hasil ciptaan Killa Driz yang dilancarkan semalam. Sebelum ini, Michael popular dengan kelantangannya mengulas pelbagai isu termasuk mutu persembahan penyanyi-penyanyi dalam variasi program realiti nyanyian sehingga mencetuskan perdebatan dalam media sosial. – CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|