Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggantikan 263,662 buku teks yang rosak akibat banjir baru-baru ini, membabitkan 14,422 murid di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata, berdasarkan jumlah berkenaan, pihaknya mempunyai stok yang mencukupi bagi menggantikan buku yang rosak. Katanya, ia sekali gus membolehkan murid berkenaan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang akan bermula pada minggu hadapan. "Kita sedar bahawa dalam tempoh banjir besar yang kita lalui, ramai murid-murid yang terjejas akibat banjir dan KPM menerima banyak pertanyaan mengenai buku teks murid yang rosak akibat banjir.
"Jadi kepada murid-murid yang kehilangan buku teks atau buku mereka rosak akibat banjir jangan risau. "Mereka juga tidak perlu membayar ganti rugi di atas kerosakan buku teks tersebut mahupun menggantikan buku itu," katanya menerusi rakaman video di laman sosial Facebook miliknya, hari ini. Radzi berkata, guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan akan memastikan usaha untuk menggantikan dapat dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi persekolahan minggu hadapan dapat berjalan dengan teratur dan lancar. "Semoga anak-anak yang terjejas dengan banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan dapat kembali ke sekolah apabila sekolah buka kelak," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT