Menerusi video dimuat naik di Facebook rasmi Hot FM, Fad kelihatan tergamam dan menahan tangis. Fad juga menundukkan kepala ketika Buyot mengungkapkan tagline arwah Abam iaitu 'kita baik ramai sayang'.
Menurut Fad, apabila dilihat dari ekor mata, Buyot sama seperti arwah. Malahan, cara pemuda itu merenung seseorang ketika sedang berbual juga serupa dengan rakan karibnya itu.
"Arwah Abam pada awal kemunculan memang macam Buyot. Rambut sama. Arwah Abam masa itu pun belum ada jambang lagi. Memang sebiji macam Buyot. Tapi, comel Buyot ada tarikan tersendiri begitu juga dengan arwah.
"Kita boleh jumpa individu persis dengan arwah Abam tapi personaliti dan sikap itu pasti ada perbezaan. Tetapi, setidak-tidaknya terubat sikit rasa rindu," kata Fad.
Keakraban persahabatan Fad dan arwah Abam kali pertama dapat dilihat ketika mereka menyertai pertandingan Bintang Mencari Bintang. Dikenali sebagai kumpulan Bocik, dalam pertandingan itu jugalah mereka berkenalan dengan Achey yang turut sama bertanding sebagai pelawak solo.
Mereka bertiga kemudian bergabung dan dikenali sebagai kumpulan Bocey. Penyertaan mereka di pentas Maharaja Lawak Mega membuka peluang dan rezeki lebih banyak dalam industi seni tanah air. Sama-sama membina kerjaya sejak 2013, Fad bagaimanapun akur Bocey hanya tinggal berdua selepas kematian Abam pada tahun 2020.
"Rasa rindu saya dan Achey pada arwah Abam tidak akan terubat sampai bila-bila. Tapi, bila tengok Buyot rasa macam dia ada di sini. Kalau Achey ada di sini, mesti dia pun akan merasai perkara sama. Kami rindu untuk duduk bertiga lagi," katanya.
Selain wajah dan fizikal Buyot yang seiras dengan arwah Abam, warga maya turut mengatakan suaranya juga kedengaran sama dengan pelawak berkenaan.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My