Kuala Lumpur: Pasukan Melaka United ditegur 'setepek' oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu sejak Oktober lalu.
Tunku Ismail yang juga Penaung Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) memberi menegur secara 'direct' dan meminta agar Presiden Melaka United, Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali menyelesaikan tunggakan tiga bulan itu secepat mungkin. Menerusi satu perbualan whatsapp yang dikongsikan oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu di laman Story Instagram miliknya menyaksikan Tunku Ismail mahu isu berkenaan diselesaikan.
Katanya, tunggakan membabitkan seluruh anggota skuad Hang Tuah musim lalu itu tidak baik untuk imej pasukan berkenaan selain pemain menjadi mangsa keadaan. "Salam Datuk, saya harap Datuk dalam keadaan sihat. "Datuk pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk 'image' integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan, serta 'welfare players'. Tolong selesaikan isu ini Datuk. Terima kasih," kata Tunku Ismail kepada Sulaiman. Teguran itu kemudiannya disambut dengan nada positif apabila Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka berjanji akan menyelesaikan tunggakan itu. "Wassalam Tunku. Semoga Tunku sentiasa di bawah rahmat Allah SWT. Insya Allah patik akan usahakan perkara ini sebaik mungkin. Terima kasih," balas Sulaiman. Menerusi laporan Arena Metro hari ini, majoriti anggota skuad Melaka United musim lalu kini menjadi buruan bank selepas hampir tiga bulan tidak menerima sebarang gaji sejak Oktober, tahun lalu. Mungkin ia agak mengejutkan namun itulah senario sebenar yang berlaku dalam kem Melaka United ketika ini apabila skuad yang mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu itu diburu pihak bank ekoran kegagalan menjelaskan komitmen bulanan. Situasi perit itu diakui sendiri beberapa bekas pemain Melaka United musim lalu termasuk penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang kini diburu pihak bank selepas tidak dibayar gaji sejak beberapa bulan lalu. Selain itu, PFAM turut mengesahkan sudah menghantar notis tuntutan agar tunggakan diselesaikan sebelum 19 Januari ini. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT