Ang Aing Thye GEORGETOWN - Gara-gara gagal memaklumkan kepada pihak atasan berkenaan kejadian runtuhan rod penebat kilat di Menara Umno yang meragut nyawa seorang kelindan lori 13 Jun lalu, seorang juruteknik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) diarahkan pindah ke jabatan lain.
Juruteknik terbabit yang bertugas di pusat kawalan dan operasi CCTV MPPP dipindahkan serta-merta berkuatkuasa semalam, sementara menunggu siasatan. Setiausaha MPPP, Ir Ang Aing Thye berkata, tindakan itu diambil kerana juruteknik itu gagal memaklumkan kejadian sebenar walaupun melihat rakaman CCTV itu. Menurutnya, terdapat dua rakaman dibuat di pusat kawalan berkenaan pada hari kejadian iaitu di persimpangan Jalan Anson dan Jalan Penang dan satu lagi di persimpangan Jalan Zainal Abidin, depan Menara Umno.
“Sehari selepas kejadian ribut itu, juruteknik terbabit melihat kedua-dua rakaman itu dan hanya menyatakan bahawa hanya angin yang kuat dan percikan api pada jam 6.34 petang, disusuli kesesakan lalu lintas pada jam 6.45 petang pada hari kejadian. “Pada 15 Jun lalu, pegawai MPPP, pihak kontraktor dan juruteknik itu menonton kembali rakaman berkenaan dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena ketika melihat ada konkrit jatuh dari Menara Umno,” katanya. Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPPP, A Rajendran. Aing Thye berkata, pihak kontraktor menghubungi polis bagi memaklumkan perkara berkenaan tetapi diberitahu polis tidak dapat memberi pengesahan sama ada sebarang kenderaan terperangkap di bawah runtuhan terbabit. “Apabila kontraktor menonton semula rakaman CCTV di Komtar barulah dapat dilihat dengan jelas memang ada kenderaan dihempap runtuhan itu dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat juga dipanggil untuk melihat rakaman itu,” katanya. Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri meminta polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bekerjasama dengan jawatankuasa siasatan yang menyiasat insiden runtuhan itu. Katanya, jawatankuasa itu diketuai oleh Pengerusi Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Yeo Yang Poh dan menegaskan bahawa ia adalah jawatankuasa bebas kerana tidak dianggotai pemimpin kerajaan negeri. Dalam kejadian itu, seorang warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut apabila lori yang dipandu rakan sekerjanya dihempap rod penebat kilat dan mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan. Tiga hari kemudiannya pekerja pembersihan menjumpai serpihan kereta yang dipercayai jenis Honda City berwarna gelap yang terbenam di bawah konkrit yang terhempas. Polis mengesahkan nombor casis pada serpihan kereta dijumpai sama dengan laporan dibuat seorang wanita mendakwa suaminya, Lim Chin Aik, 44 tidak pulang selepas keluar mengambil anak mereka pulang dari sekolah.
|
ADVERTISEMENT