SHAH ALAM: Anak Selangor atau pemastautin di negeri ini selama 15 tahun yang melangsungkan perkahwinan tahun ini digesa mendaftar perkahwinan di 56 pusat khidmat masyarakat seluruh Selangor untuk menerima insentif perkahwinan belia.
Menggesa demikian, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian insentif RM200 seorang itu adalah untuk pasangan berumur 35 tahun ke bawah.
Mereka diminta mendaftarkan nama di pusat khidmat masyarakat masing-masing selepas tiga bulan bernikah bagi yang beragama Islam, atau bagi bukan Islam, perkahwinan mereka didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.
“Dengan mendaftar, pihak kerajaan negeri mempunyai maklumat bagi memberi bantuan tambahan seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) jika mereka mendapat anak, dan mengenal pasti calon-calon yang layak menerima perumahan mampu milik yang bakal dibangunkan kerajaan negeri, ” kata Abdul Khalid selepas menyampaikan insentif itu kepada lebih 100 pasangan di sini, Ahad.
Buat masa ini, katanya, hanya 170 pasangan telah mendaftar dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan kemudahan itu.
Abdul Khalid berkata pemberian insentif bagi fasa pertama adalah sebanyak RM400 setiap pasangan dan akan dinaikkan kepada RM500 pada masa akan datang.
Beliau berkata bagi pasangan beragama Islam, pemberian insentif itu akan dilaksanakan menerusi simpanan di Lembaga Tabung Haji manakala bagi bukan Islam menerusi Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional.
“Walaupun jumlah RM200 itu kecil bagi sesetengah individu tetapi ia dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pengantin baru dan pemberian menerusi bentuk simpanan itu akan dapat mendidik mereka menabung untuk masa hadapan mereka dan anak-anak,” katanya.
Abdul Khalid berkata setiap tahun Selangor mencatatkan lebih 25,000 pasangan yang berkahwin dengan 18,000 daripadanya pasangan beragama Islam dan selebihnya bukan Islam.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|