CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Isu pensijilan halal dikatakan membebankan peniaga : Bukit Aman panggil Teresa Kok esok

9-9-2024 01:19 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 8283| Komen: 0

 


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang disiasat berhubung kenyataan pensijilan halal dikatakan membebankan peniaga di Malaysia akan dipanggil dirakam percakapan, esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan yang akan dilakukan mengikut prosedur 3R itu berlangsung sekitar pukul 10 pagi, di Bukit Aman, di sini.

“Rakaman percakapan akan dibuat di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata beliau, terdapat saksi lain yang akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung isu pensijilan halal itu.

“Saksi lain yang akan dipanggil antaranya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga saksi-saksi lain yang akan ditentukan kemudiannya,” ujar beliau.

Semalam, Kosmo! melaporkan terdapat lima laporan polis terhadap Naib Presiden DAP berhubung kenyataanya isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di Malaysia.


Rentetan itu, satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin menegaskan, walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan namun terdapat limitasinya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kenyataan dikeluarkan Teresa dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian kerajaan.

Kata Anwar, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu hanya mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Anwar juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

Sehubungan itu, Teresa ditegur tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

Jumaat lalu, Teresa berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Tambahnya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain menambahkan kos pentadbiran.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. 
Sumber – KOSMO! ONLINE


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-9-2024 10:30 AM GMT+8 , Processed in 0.027385 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top