GREENWOOD, MISSISSIPPI – Sekumpulan pemburu menangkap seekor aligator gergasi yang memiliki berat 363.78 kilogram di sebatang sungai di negeri Louisiana sempena Musim Memburu Aligator Mississippi 2024, lapor saluran berita Mail Online kelmarin. Kumpulan terdiri daripada enam orang itu menangkap aligator sepanjang 426.7 sentimeter atau 14 kaki di Sungai Yazoo yang mengalir lebih 3218 kilometer merentasi negeri Mississippi dan Louisiana. Ia sekali gus memecahkan rekod tahun ini, selain diiktiraf sebagai aligator terbesar yang pernah ditangkap di negeri tersebut. Dalam catatan di laman sosial, seorang pemburu tersebut dikenali sebagai Sasser berkata, pasukannya seperti ‘tidak percaya’ apabila pulang membawa reptilia tersebut kelmarin. “Kami menempuh pelbagai cabaran seperti hujan monsun selama lebih 3 jam, merempuh 2 tiang, terselamat daripada maut beberapa kali tetapi masih berjaya membawa ‘raksasa’ ini pulang,” katanya.
Seorang pemburu lain, Brandi Robinson berkata, aligator gergasi itu dikesan kira-kira 228 meter dari bot mereka. “Bot kami perlahan-lahan menuju ke arahnya. Kami menunggu sekitar 45 minit untuk aligator ini kembali ke permukaan sebelum bergelut dengannya selama sejam,” kata Robinson. Tidak jelas peralatan yang digunakan tetapi pemburu dibenarkan untuk menggunakan segala jenis peralatan untuk menangkap aligator dalam pertandingan itu termasuk senjata api. Pasukan itu menaikkan tangkapan mereka ke dalam bot dan membawanya kepada syarikat pemprosesan daging tempatan, Red Antler. Aligator terbesar pernah direkodkan adalah sepanjang 584 sentimeter (19 kaki) dan seberat 1,043 kilogram di Louisiana pada tahun 1890. – AGENSI Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT