Kuala Lumpur: Motif kejadian pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) adalah bersifat gurauan keterlaluan dan berlaku secara tiba-tiba. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan mendapati tidak terdapat unsur dendam dan pergaduhan dalam kejadian ini. "Sebaliknya, kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas. "Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata 'ragging' tak juga, itu bukan 'ragging'. "Bila ada benda-benda berbahaya seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena," katanya pada sidang media selepas merasmikan program pendekatan kesedaran kes jenayah seksual dan penipuan dalam talian, di Dewan Serbaguna Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan berhubung kejadian itu juga sudah diserahkan Jabatan Peguam Negara dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut. "Laporan perubatan masih belum peroleh. Laporan perubatan boleh digunakan oleh siasatan dan pendakwaan untuk buat apa apa keputusan awal. "Tapi setakat ini kita belum terima namun itu tidak menghalang untuk kita katakan kertas siasatan sudah lengkap," katanya. Mengulas berhubung tiada tangkapan dilakukan, Rusdi berkata, tiada keperluan tangkapan dilakukan kerana pihaknya sudah memperoleh bahan bukti dan keterangan daripada semua yang terbabit. "Ia bergantung kepada kes, tangkapan dalam apa-apa sahaja siasatan tidak semestinya ditangkap pada masa itu, boleh juga ditangkap dan terus tuduh di mahkamah," katanya. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada PDRM untuk menyiasat kes buli babit seorang pegawai kadet di UPNM. Beliau menegaskan, budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa. Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kejadian itu. SUMBER: – Harian Metro |
ADVERTISEMENT