CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Filipina dakwa ditekan China untuk serah hak kedaulatan di Laut China Selatan

12-11-2024 11:53 PM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 33138| Komen: 0

 


CANBERRA: Filipina mendakwa China terus memberi tekanan supaya menyerahkan hak kedaulatannya di Laut China Selatan, kata Menteri Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro, hari ini selepas pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Australia, Richard Marles, di Canberra.

"Apa yang kami lihat adalah permintaan Beijing yang semakin mendesak supaya kami menyerahkan hak kedaulatan kami di kawasan berkenaan," katanya, sambil menambah bahawa Filipina adalah 'mangsa kepada pencerobohan China'.

China dan Filipina dilihat sering bertelagah tahun ini mengenai kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, termasuk Terumbu Scarborough, satu kawasan yang paling dipertikaikan di perairan itu.

Pertemuan Teodoro dengan rakan sejawatnya, Marles, kali ini, kelima sejak Ogos tahun lalu, mencerminkan hubungan keselamatan yang semakin rapat antara kedua-dua negara, dengan masing-masing menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti China di kawasan Laut China Selatan yang dituntut oleh Filipina dan negara Asia Tenggara lain.


Kedua-dua negara menandatangani perkongsian strategik pada September tahun lalu dan mengadakan rondaan laut dan Udara Bersama buat pertama kali di Laut China Selatan beberapa bulan kemudian.

Filipina turut serta dalam latihan ketenteraan di Australia buat julung kalinya tahun ini

China mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan, yang juga laluan bagi lebih daripada AS$3 trilion perdagangan tahunan melalui kapal, termasuk kawasan yang turut dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Mahkamah Tetap Timbang Tara pada 2016 berkata, tuntutan China tidak mempunyai asas undang-undang, satu keputusan yang ditolak oleh Beijing.

Teodoro berkata, tuntutan dan tingkah laku China bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan perjanjian pertahanan dengan rakan kongsi seperti Australia adalah cara penting untuk menghalang pencerobohan China.

"Walaupun mereka (China) mendakwa bertindak di bawah naungan undang-undang antarabangsa, semua orang tahu bahawa apa yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa," katanya.

"Bukti terbesar terhadap perkara ini adalah tiada siapa yang benar-benar menyokong tindakan atau aktiviti mereka.

Selain daripada hubungan yang lebih erat dengan negara-negara termasuk Australia dan Amerika Syarikat (AS), Filipina juga merancang untuk membelanjakan sekurang-kurangnya AS$33 bilion untuk membeli senjata baharu termasuk jet pejuang canggih dan peluru berpandu jarak sederhana.

Marles berkata, Australia mahu bekerjasama lebih rapat dengan industri pertahanan Filipina dan akan menghantar pasukan penilaian kejuruteraan ke negara berkenaan, awal tahun depan. - REUTERS


SUMBER:  – Berita Harian
 

 

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-11-2024 11:50 PM GMT+8 , Processed in 0.090673 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top