KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak tergugat dengan desakan yang memintanya meletak jawatan berikutan keputusan Mahkamah Rayuan semalam berhubung kes rasuahnya. Menerusi satu maklum balas kepada media hari ini, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata beliau tidak mahu menjawab komen pihak terbabit yang disifatkannya sebagai tidak berwibawa dan berat sebelah. "Saya tidak terpanggil untuk menjawab komen dari badan bukan kerajaan (NGO) yang langsung tidak berwibawa dan berat sebelah. "Soal dalam UMNO biarlah UMNO yang tentukannya. Kes saya bukan kes baharu, ianya telah berjalan bertahun-tahun," katanya dalam maklum balas yang dikongsikan kepada media. Beliau mengulas desakan pihak tertentu yang memintanya meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Sabah selepas Mahkamah Rayuan, semalam memerintahkan kes rasuahnya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan.
Berikutan itu, Bung Moktar dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad, perlu membela diri. Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) yang juga bekas aktivis UMNO, Datuk Zulkarnain Mahdar, semalam menyuarakan agar Bung Moktar mengundur diri dan memberi tumpuan kepada perbicaraan kes mahkamah yang dihadapinya. Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata kes mahkamah yang dihadapinya tidak mengganggu kedudukan beliau untuk menjalankan tugas selaku Ketua UMNO Sabah. "Kepada semua penyokong UMNO - BN, bertenang dan jangan terganggu dengan keadaan yang berlaku, sentiasa fokus kepada memperkasakan parti. "Insya-Allah yang benar pasti akan mengatasi perkara yang tidak benar," katanya. Sebelum ini, kepemimpinan UMNO Sabah turut menyatakan sokongan kepada Bung Moktar dan menghormati proses undang-undang yang dilalui pemimpin berkenaan. Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menegaskan menerusi prosiding Mahkamah Rayuan semalam, Bung Moktar belum dan bukannya disabitkan bersalah, sebaliknya hanya diminta membela diri untuk menyelesaikan proses undang-undang. Sumber - Berita Harian |
ADVERTISEMENT