CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Malaysia, Thailand sepakat pastikan semua projek di sempadan siap ikut jadual - PMX

16-12-2024 02:24 PM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 47903| Komen: 1

 


PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand sepakat memastikan semua projek yang dipersetujui bersama di sempadan antara kedua-dua negara siap pada masa ditetapkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, antara projek itu adalah penjajaran jalan raya menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand, serta pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dengan Sungai Golok di Narathiwat.

Beliau menegaskan, sokongan Malaysia terhadap dialog dan pembangunan itu bagi menjamin keamanan di selatan Thailand serta di utara Malaysia.

"Memang terdapat kemajuan besar dalam penjajaran jalan raya, ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao serta pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang dengan Sungai Golok di Thailand.


"Projek ini pastinya akan meningkatkan kerjasama dan menyelesaikan banyak isu seperti pengurusan air serta usaha mitigasi banjir di Sungai Kelantan, Sungai Golok serta kawasan di selatan Thailand dan utara Malaysia, khususnya di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar dan Paetongtarn mengadakan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand itu ke Malaysia selama dua hari sejak semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia komited memastikan proses dialog di selatan Thailand dapat membuahkan hasil dan seterusnya melaksanakan rancangan komprehensif bersama ke arah keamanan.

"Seperti yang dipersetujui, keamanan dengan pembangunan adalah keutamaan. Jadi bagi memastikan keamanan dan pembangunan berlaku di selatan Thailand dan utara Malaysia, wilayah-wilayah ini juga memerlukan pelaburan tambahan," katanya.

Selain, itu, Anwar berkata, kedua-dua negara berkongsi pendirian berhubung isu Laut China Selatan dengan menghormati Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Sementara itu, Paetongtarn berkata isu bencana banjir membabitkan kedua-dua negara khususnya di sempadan perlu ditangani dengan baik.

"Kami akan bekerjasama rapat antara kedua-dua negara bagi meningkatkan jaringan jalan raya dan landasan kereta api lebih baik di sempadan.

"Kami juga akan meningkatkan dan mempermudahkan perdagangan di sempadan serta interaksi antara rakyat kedua-dua negara," katanya.

Sumber – BH ONLINE

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote Decaffeinated 16-12-2024 03:02 PM
Kan kemas sikit nampak bila pakai tie.

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-12-2024 05:50 PM GMT+8 , Processed in 0.159649 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top