CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Positif dadah, Penuntut IPTA antara 16 individu ditahan AADK dalam operasi Tahun Baru 2025

2-1-2025 10:49 AM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 8951| Komen: 0

 


BUKIT KAYU HITAM: Seorang penuntut universiti awam di utara tanah air ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah malam tadi kerana didapati positif dadah ketika pulang dari bercuti di negara jiran, semalam.

Penuntut berusia 23 tahun itu bersama tiga rakannya itu menaiki kereta dan ditahan untuk menjalani pemeriksaan lanjut ketika melalui sekatan AADK di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat sini, jam 9 malam tadi.

Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati dia positif dadah jenis ganja manakala tiga rakannya negatif.

Dia mendakwa baru kali pertama mencuba mengambil dadah berkenaan sekadar untuk suka-suka namun tidak menyangka urinnya tersangkut menyebabkan dia takut.

"Sebelum ini tak pernah pun tapi ini pertama kali saya ambil dadah ini sebab itu saya menggeletar.

"Ketika itu saya sedang makan seorang diri di sebuah kedai dan dipelawa seorang lelaki Thailand yang tanya saya, nak cuba 'smoke' (hisap) ka, saya pun cubalah tapi tak sangka nak sangkut," katanya ketika disoal penguat kuasa AADK, malam tadi.

Sementara itu Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, operasi itu bermula jam 6 pagi semalam hingga 12 tengah malam tadi ketika pintu pagar sempadan negara Malaysia-Thailand ditutup.

Beliau berkata, tujuan operasi ini dilakukan adalah untuk mengesan penyalah gunaan dan penagih dadah yang masuk melalui pintu sempadan negara sempena Tahun Baharu 2025.

"Operasi ini turut membabitkan sebahagian pegawai AADK Kedah serta Unit Anjing Pengesan (K-9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan sebarang kemasukan dadah melalui pintu masuk sempadan negara ini.

"Pelaksanaan operasi hari ini membabitkan sebanyak 15 buah kenderaan diperiksa dan 45 individu diminta menjalani ujian saringan awal air kencing.

"Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya 16 daripadanya didapati positif dadah dan kebanyakan daripadanya adalah golongan belia sekitar 18 hingga awal 39 tahun," katanya di lokasi operasi, malam tadi.

Khairul Anwar berkata, daripada jumlah 16 individu yang positif itu juga mendapati, 14 daripadanya adalah lelaki manakala dua daripadanya wanita.

Beliau berkata, enam daripadanya didapati positif dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) atau ecstacy manakala lima individu lagi positif Benzodiazepine (ubat penenang), tiga daripadanya positif tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja dan dua lagi dikesan positif mitragynine atau ketum.

"Kesemua individu ini ditahan mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.

"Unit Anjing K-9 PDRM yang menjalankan operasi pada jam 10 pagi hingga 1 petang semalam mendapati tiada kemasukan dadah dikesan pada ketika waktu itu," katanya.

Khairul Anwar berkata, hasil siasatan AADK mendapati kebanyakan mereka yang ditahan itu didapati pengguna kali pertama mencuba atau hanya mengambil dadah di tempat hiburan untuk lebih keseronokan.

Beliau berkata, pihaknya melihat individu ini masih berpeluang untuk berubah dan tidak terjebak dengan penagihan dadah yang lebih serius.

"Pihak AADK akan meneruskan lagi operasi seperti ini dengan lebih kerap selepas ini kerana kita memandang berapa seriusnya isu penyalahgunaan dadah di sempadan negara di mana bermula dengan sekadar mencuba secara suka-suka yang boleh membawa kepada penagihan lebih serius.

"Di samping mengesan penyalah gunaan dadah, hari ini kita turut mengesan penyalah gunaan bahan seperti ketum (mitragynine) melalui perlaksanaan ujian saringan air kencing.

"Ini bertujuan untuk memberi peluang atau intervensi awal kepada penyalah guna bahan supaya menghentikan tabiat ini serta mendapatkan rawatan dan pemulihan dengan kadar segera sebelum keadaan menjadi lebih parah," katanya.

Sumber – BH

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-1-2025 02:05 AM GMT+8 , Processed in 0.028926 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top