KUALA LUMPUR: Terlalu banyak momen manis terpahat di hati pembaca berita bahasa Inggeris di TV2, Jessica Lee, 57, selama 35 tahun ini. Namun, Isnin lalu menjadi hari terakhir buat penyampai berita slot World Today dan Malaysia Tonight itu selepas menaburkan khidmat dengan stesen televisyen milik kerajaan sejak 1989. Menyertai dunia penyiaran secara tidak sengaja ketika masih berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan, Malaysia Airlines (MAS), Jessica berkata, ia bermula apabila penyampai berita, Datuk Harjit Singh Hullon menjadi tenaga pengajar mengajar kru kabin cara sebutan ketika membuat pengumuman. "Saya tertarik mahu mencuba, namun menghadiri uji bakat sekadar suka-suka apabila ternampak iklan dalam buletin pekerja kerana saya suka membaca dengan suara kuat. "Bagaimanapun, saya antara enam tersenarai pendek. Kami berlatih siang malam pada masa singkat dan secara intensif sebelum melalui satu lagi proses pemilihan.
"Kami dilatih dua pembaca berita berpengalaman, mendiang George Abraham dan Allahyarham Hashim Embi. Namun, saya masih berkhidmat dengan MAS walaupun bergelar pembaca berita. "Soal pembahagian jadual tidak menjadi masalah jika saya terbang. Selama 35 tahun tak pernah timbul masalah," katanya yang berkhidmat bersama MAS selama 10 tahun. Selepas berhenti MAS pada 1996, Jessica menyertai British Airways selama lima tahun. Namun, selepas tidak lagi terbang, Jessica bekerja sebagai pengurus pejabat di dua syarikat berbeza dan masih aktif sebagai pembaca berita. "Walaupun melakukan tiga kerja dalam satu masa, saya tak pernah rasa tertekan. Ada masanya agak penat apabila kena bekerja pada hujung minggu. "Tapi, saya selalu cakap kepada diri sendiri, jangan merungut kerana semua benda akan berakhir. Lagipun, kita takkan rasa penat buat sesuatu yang disukai," katanya. Sepanjang 35 tahun berkhidmat, antara pengalaman tidak dapat dilupakan Jessica apabila terpaksa membaca berita mengenai kehilangan pesawat MH370 dan pesawat MH17 ditembak di Ukraine. "Mungkin orang lihat baca berita seperti mudah, tapi sebenarnya setiap berita ada cara penyampaian. "Kalau berita sukan, temponya berbeza kerana penyampaiannya lebih laju. Jika berita menyayat hati, kena tahu ekspresi penyampaian. Paling sukar, saya terpaksa menyampaikan berita kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17. "Ada antara kru yang saya kenal dan pernah bekerjasama. Berat hati menyampaikan berita pemergian mereka, tetapi tugasan harus dilakukan, namun dengan hati sangat berat," katanya. Tambah Jessica, dia tidak akan melupakan pengalaman selama 35 tahun kerana banyak perkataan baharu dipelajari dan menjadi lebih peka dengan isu semasa. "Saya bukanlah seorang yang peka mengenai isu semasa, tetapi ia berbeza selepas bergelar pembaca berita. Saya mula ambil tahu perkembangan semasa dalam dan luar negara. "Kini, satu daripada tiga tanggungjawab saya sudah pun selesai. Fokus saya kini kepada kerjaya pengurus pejabat," kata ibu kepada cahaya mata berusia 23 tahun. Sumber – BH |
ADVERTISEMENT