KOTA BHARU: Polis sudah mengambil keterangan lima individu termasuk ibu bapa kanak-kanak berusia 19 bulan, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, yang ditemukan meninggal dunia Rabu lalu selepas 45 jam dilaporkan hilang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata setakat ini pihaknya membuka siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Bagaimanapun katanya, setakat kesemua keterangan diambil, tiada unsur pengabaian dikesan.
"Bagaimanapun siasatan kita belum ditutup dan kita akan mengambil keterangan individu lain sekiranya terdapat saksi baru dalam kes ini.
"Setakat ini mereka yang diambil keterangan adalah ibu bapa mangsa, nenek dan ibu saudaranya.
"Jika ada saksi lain yang boleh membantu kita akan mengambil keterangan lagi," katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian Hud Aryan kerana dibimbangi terdapat unsur kecuaian.
Ia susulan tular di TikTok yang mengatakan mustahil seorang kanak-kanak baru berusia 19 bulan boleh pergi ke sungai dalam tempoh beberapa minit sahaja
Hud Aryan yang juga anak tunggal dilaporkan hilang dari kediaman neneknya di Kampung Air Kuala Tiga.
Kehilangan Hud Aryan disedari ibunya jam 7.20 malam selepas melihat anaknya tiada di dalam rumah selain keadaan pintu rumah yang terbuka.
Hud Aryan bagaimanapun ditemukan tersangkut di pokok di tebing sungai Kampung Kerila iaitu tiga kilometer dari kediaman neneknya selepas 45 jam kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Sumber: BH Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|