Kota Bharu: Lemak daripada daging yang diperap dan kemudian dipanggang di atas bara menjadi hidangan unik yang terdapat di negeri ini setiap kali tibanya Ramadan.
Menurut Norhasuzi Othman, 45, sejak awal Ramadan lalu, dia menjual lemak bakar sebanyak 60 kilogram (kg) setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan di bazar perkarangan Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV.
Katanya, selain kuih muih dan makanan lain, lemak bakar antara menu tumpuan disebabkan kebanyakan peniaga hanya menjualnya ketika Ramadan sahaja dan menjadikan ia sentiasa dinanti-nantikan.
"Kebanyakan pengunjung sudah mengenali saya kerana sudah lebih 20 tahun berniaga di bazar ini.
"Resipi untuk memerap lemak dan daging bakar adalah warisan keluarga dan ia habis terjual setiap hari. Bagi memastikan semua bahan diserap di dalam lemak dan daging, ia memerlukan masa selama hampir enam jam bermula jam 7.30 pagi.
"Selain lemak bakar, saya juga menjual daging bakar dan gulai kawah. Harga lemak bakar dan daging bakar dijual RM10 satu cucuk manakala gulai kawah pula terpaksa dinaikkan dari RM10 kepada RM12 sebekas disebabkan kenaikan harga santan," katanya.
Sementara itu, Roslan Mamat, 45, berkata, berkata, bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV menjadi lokasi utama untuk mendapatkan lemak bakar.
"Rasa lemak bakar bagi saya cukup unik dan lebih sedap apabila dimakan bersama dengan nasi putih yang masih panas," katanya.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|