KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan bekalan beras putih tempatan (BPT) sudah berada dalam pasaran di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya sudah mencari jalan penyelesaian buat sementara waktu bagi menyelesaikan bekalan beras.
"Untuk bekalan beras tempatan, ia sudah berada dan sedang masuk di dalam pasaran. Itu yang kita usahakan dan ia mengikut jadual yang ditetapkan.
"Masalah makanan dalam dunia ini sampai kiamat pun tidak selesai, namun ini adalah penyelesaian sementara yang kita buat.
"Apa yang boleh katakan bekalan beras di pasaran adalah terkawal dan mengikut jadual," katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Bersama Warga KPKM, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.
Media sebelum ini melaporkan, bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) dijangka berada di pasaran sepenuhnya dalam minggu ini.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata ketika ini proses pengedaran daripada kilang, pemborong hingga kepada peruncit sedang berjalan.
Sumber – BH
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My