KUALA LUMPUR: Batik Air mengemas kini peraturan berkaitan bank kuasa (power bank) berkuat kuasa serta-merta, dengan membenarkan setiap penumpang membawa maksimum dua unit yang mesti disimpan sendiri pada setiap masa dan tidak diletakkan dalam bagasi kabin. Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa larangan membawa bank kuasa dalam bagasi berdaftar kekal berkuat kuasa bagi semua penerbangan Batik Air. Menurut Batik Air, polisi ini selaras dengan peraturan barangan berbahaya yang ditetapkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang menetapkan bahawa bank kuasa yang dibawa ke dalam pesawat tidak boleh melebihi kapasiti 100 watt-jam (Wh) atau 20,000 miliampere-jam (mAh). Sebagai langkah meningkatkan keselamatan, Batik Air turut melarang penggunaan bank kuasa dalam kabin dan menasihatkan penumpang supaya berhati-hati ketika membawa bank kuasa auto-magnet kerana ia boleh menimbulkan risiko tambahan.
"Batik Air akan menampilkan peringatan keselamatan di kaunter daftar masuk, selain membuat pengumuman semasa menaiki pesawat dan dalam taklimat penerbangan bagi memastikan kelancaran pematuhan peraturan ini," menurut kenyataan itu. Kakitangan di kaunter daftar masuk juga akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan bank kuasa yang dibawa penumpang berada dalam keadaan baik dan mematuhi had kapasiti yang ditetapkan. "Batik Air komited mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi sambil memastikan pengalaman perjalanan yang lancar. Kami menghargai kerjasama penumpang dalam mematuhi polisi yang dikemas kini ini, selaras dengan amalan terbaik industri bagi meningkatkan keselamatan penerbangan," katanya. Sumber: BH |
ADVERTISEMENT