|
Tehran: Wanita di Iran kini secara rasmi dibenarkan memperoleh lesen menunggang motosikal, menurut laporan media tempatan, semalam, sekali gus menamatkan kekaburan undang-undang yang berlarutan selama bertahun-tahun.
Sebelum ini, undang-undang tidak secara jelas melarang wanita menunggang motosikal dan skuter, namun pihak berkuasa enggan mengeluarkan lesen. Keadaan itu menyebabkan wanita dipertanggungjawabkan secara undang-undang dalam kes kemalangan, walaupun mereka adalah mangsa. Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Aref, menandatangani resolusi pada 3 Februari lalu bagi memperjelaskan kod lalu lintas. Menurut agensi berita Ilna, resolusi berkenaan kemudian diluluskan oleh Kabinet Iran pada akhir Januari. Resolusi itu juga mewajibkan, polis trafik memberikan latihan praktikal kepada pemohon wanita. Polis juga diarahkan, mengendalikan peperiksaan di bawah pengawasan langsung pihak berkuasa dan mengeluarkan lesen menunggang motosikal kepada wanita. Langkah itu menyusuli gelombang protes di seluruh Iran yang pada awalnya berpunca daripada isu ekonomi sebelum berkembang pada Januari lalu menjadi demonstrasi antikerajaan di peringkat nasional. Dalam pada itu, Tehran mengakui lebih 3,000 kematian berlaku sepanjang rusuhan itu, dengan kebanyakannya membabitkan anggota keselamatan dan orang awam yang tidak terbabit. Sejak Revolusi Islam Iran pada 1979, wanita berdepan pelbagai sekatan sosial, dengan kod pemakaian menjadi cabaran kepada mereka yang menunggang motosikal. Bagaimanapun, jumlah wanita menunggang motosikal meningkat dengan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Trend itu semakin ketara selepas kematian dalam tahanan pada 2022 membabitkan Mahsa Amini, seorang wanita muda Iran yang ditahan kerana didakwa melanggar kod pemakaian. Difahamkan, kematiannya mencetuskan protes di seluruh Iran oleh golongan wanita yang menuntut kebebasan lebih besar. Sumber : Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
6-2-2026 12:16 AM GMT+8 , Processed in 0.102765 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.