|
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sentiasa menekankan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan dan mendapat kelulusan sah daripada pihak kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta mengikut segala perundangan dan garis panduan yang ditetapkan.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata selaku Ketua Agama Islam di negeri ini, Sultan Sharafuddin sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi teras keharmonian masyarakat. "Sebarang pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan yang sah yang membabitkan pencerobohan terhadap tanah kerajaan dan persendirian akan menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama yang akhirnya menyebabkan ancaman dan risiko keselamatan kepada negeri dan negara ini. "Kerajaan dan PBT pula diingatkan supaya sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat agar diproses secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. "Aspek pemantauan juga perlu sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal," katanya dalam kenyataan, semalam. Beliau berkata, baginda turut menegaskan agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat. Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang dibina tanpa mengikuti peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Beliau berkata, pendirian tegas Kerajaan Persekutuan adalah selari dengan prinsip dan pendekatan yang sentiasa ditekankan Sultan Selangor iaitu memastikan setiap pembangunan yang dijalankan adalah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dan tadbir urus yang baik. "Perkara ini juga harus dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang," katanya. Mohamad Munir berkata, statistik pembinaan kuil tanpa kebenaran itu juga sudah disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin, iaitu membabitkan 388 kuil dibina di tanah milik kerajaan dan 299 kuil dibina di atas tanah milik persendirian. "Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu sekitar 11.3 peratus di Selangor. "Ia tidak mengambil kira jumlah kuil di seluruh Selangor yang didirikan secara sah serta mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri Selangor," katanya. Sumber – BH
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
13-2-2026 02:01 AM GMT+8 , Processed in 0.056605 second(s), 21 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.