|
SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) diminta berbincang dengan pengusaha perniagaan di lapangan terbang untuk mencari jalan supaya barangan serta makanan jualan mereka ditawarkan pada harga lebih berpatutan. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pihaknya menerima banyak keluhan pengguna lapangan terbang yang berpendapat harga dikenakan terlalu mahal. Justeru, beliau berkata, langkah menurunkan sedikit harga berkenaan boleh mendorong lebih ramai pengunjung, termasuk pelancong, untuk membeli-belah dan menikmati makanan di kedai serta restoran yang beroperasi di lapangan terbang. "Saya mahu mengambil peluang ini (untuk menyatakan) permintaan pembeli supaya kalau boleh pengusaha bantu menurunkan sedikit harga... (harga) makanan juga sangat mahal. "Kita mahu berbincang dengan (pengusaha) kedai serta 'outlet', bagaimana untuk melakukannya supaya bilangan pembeli dapat ditingkatkan dan mereka boleh mendapat keuntungan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran ShopLAH by Malaysia Airports di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani. Menjelaskan lanjut, King Sing berkata, orang awam ada persepsi bahawa harga ditawarkan peniaga di lapangan terbang adalah terlalu mahal, malah ia memberi imej negatif kepada pelancong asing yang tiba di negara ini melalui pintu masuk udara. "Saya juga ada berbincang dengan pengusaha 'outlet' yang meminta pertimbangan agar diturunkan kadar sewa yang mereka perlu bayar. "Bagaimanapun, saya serahkan kepada pengurusan lapangan terbang untuk mencari jalan dan pendekatan terbaik dalam menangani perkara ini," katanya sambil berharap usaha itu bukan hanya sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026. Pada masa sama, King Sing berkata, kementeriannya menerima maklum balas daripada pelancong asing yang mahu lebih banyak restoran menawarkan juadah tempatan untuk mereka nikmati setiba di negara ini. Malah dengan cara itu, beliau berkata, lebih banyak makanan tempatan dapat dipromosikan kepada khalayak antarabangsa. Bercakap kepada pemberita kemudian, King Sing berkata, beliau masih belum mendapat maklum balas awal berhubung kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Katanya, beliau masih menunggu laporan daripada Jabatan Imigresen untuk melihat jumlah kemasukan pelancong asing ke negara ini sejak kempen itu bermula 1 Januari lalu. "Saya berharap akan mendapat maklumat itu dalam tempoh seminggu ini," katanya. Mengulas mengenai ShopLAH pula, King Sing berkata, ia adalah inisiatif untuk memperkayakan pengalaman pelancong di pintu masuk utama negara. Inisiatif ShopLAH bertujuan memperkukuhkan peranan peruncitan lapangan terbang sebagai pemacu utama pengalaman pelawat dan perbelanjaan pelancongan di seluruh rangkaian lapangan terbang antarabangsa kendalian Malaysia Airports. Sementara itu, Mohd Izani berkata, ShopLAH mencerminkan peranan pengendali lapangan terbang dalam membentuk tanggapan pertama dan terakhir pelawat terhadap Malaysia. "Kempen ini bukan saja memperkayakan pengalaman perjalanan penumpang, malah mengukuhkan ekosistem komersial kami melalui kerjasama rapat dengan pengusaha, jenama tempatan serta komuniti kreatif. "Dengan mengaktifkan peruncitan lapangan terbang sebagai sebahagian daripada perjalanan, kami menghubungkan pelancongan, perniagaan dan identiti Malaysia, selaras aspirasi kami untuk meletakkan Malaysia sebagai negara paling berhubung di rantau Asia Pasifik," katanya. Sumber – BH
|
AuntyZaza replied at 11-2-2026 09:35 AM
Betul, kesian kat family sabah sarawak. Kadang anak kecil tetiba lapar kat airport padahal dah makan ...


ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
12-2-2026 08:01 PM GMT+8 , Processed in 0.059808 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.