|
ALOR SETAR: Masyarakat bukan Islam perlu mematuhi keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) berkaitan larangan penggunaan kalimah dan istilah khusus bagi umat Islam di negara ini.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata larangan penggunaan yang diputuskan pada 2008 itu masih berkuat kuasa dan ia wajar dihormati semua pihak. Katanya, tindakan melanggar keputusan itu boleh menyebabkan berlakunya masalah dan polemik antara umat Islam dan bukan Islam yang sepatutnya dapat dielak lebih awal. "Sebenarnya sudah ada keputusan yang dibuat di peringkat kebangsaan dalam muzakarah MKI yang melarang beberapa istilah dalam agama kita untuk digunakan oleh bukan Islam. "Sudah ada (fatwa), cuma sekarang timbul balik hingga jadi polemik. Jadi kita sepatutnya patuh pada keputusan yang dibuat itu dan diharap tidak berlaku lagi apa yang berlaku (baru-baru ini)," katanya di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman. Mengulas lanjut, Fadzil berkata, keputusan mengenai larangan itu bukan sahaja diluluskan di peringkat kebangsaan, malah ia turut dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja yang kemudiannya bersetuju. Walaupun ada orang bukan Islam yang faham dan mahir menggunakan kalimah berkaitan Islam, mereka masih tetap dilarang menggunakan istilah berkenaan. "Ada kalimah dan istilah yang mereka memang tidak boleh guna sebab sudah ada keputusannya mengenainya dibuat. "Maka kita berharap saudara kita terutama bukan Islam patuhilah keputusan itu, walaupun mereka duduk dalam masyarakat kita dan mereka biasa, tahu dan pandai guna kalimah tertentu, tapi mereka kena mematuhi keputusan itu agar tidak timbul polemik," katanya. Pada 4 Februari lalu, Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat. Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam. Berikut adalah perkataan dan istilah yang tidak boleh digunakan bukan Islam: Istilah tidak boleh digunakan bukan Islam 1. Allah 2. Ilahi 3. Rasul 4. Firman Allah 5. Wahyu 6. Iman 7. Ulama 8. Mubaligh 9. Dakwah 10. Hadith 11. Syariah 12. Injil 13. Ibadah 14. Qiblat 15. Salat 16. Kaabah 17. Haji 18. Khalifah 19. Kadi 20. Mufti 21. Wali Kalimah tidak boleh digunakan bukan Islam 1. Subhanallah 2. Alhamdulillah 3. Lailahaillallah 4. Walillahilham 5. Allahu Akbar 6. Insyaallah 7. Astaghfirullahal 'Azim 8. Tabaraka Allah 9. Masyaallah 10. Lahaula Walaquata Illabillahilaliyil Azim Sumber: Berita Harian
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
13-2-2026 09:37 PM GMT+8 , Processed in 0.035361 second(s), 20 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.