Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru sahaja berlalu. Namun begitu, pelbagai desas desus yang tidak sedap didengar dalam kalangan pendidik hinggakan ia berlegar di media sosial. Antara yang kuat diperkatakan ialah majoriti pelajar tidak sempat menjawab kesemua soalan kertas Matematik dalam masa yang diperuntukkan. Isu ini dibangkitkan oleh seorang guru Matematik, Mohd Fadzil Salleh di Facebook dan dikongsi oleh netizen lain. Menurut Fadzil, masa yang diberi cuma sejam dengan perlu menjawab 40 soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), sebenarnya sangat menuntut kepakaran yang tidak sesuai untuk pelajar berusia 12 tahun. Hal ini membuatkan pelbagai pendapat diutarakan netizen sama ada setuju atau tidak.
"Satu jam tidak mencukupi, satu jam sangat kejam. Satu jam mendera emosi anak-anak itu." Menurut Fadzill, sudah bertahun-tahun guru Matematik tahun 6 memperjuangkan supaya masa kertas Matematik ditambah. Ini kerana pelajar perlu menjawab 40 soalan dalam tempoh sejam, bermakna setiap soalan perlu dijawab dalam masa 1 minit 30 saat sahaja. Soalan pula bukan 'straight forward' tetapi berbelit-belit membuatkan perlu lebih masa untuk memahami konteks soalan tersebut. Hal yang sama juga berlaku terhadap Kertas 2 iaitu lebih 32 soalan perlu dijawab dalam masa sejam. Lebih teruk, kertas ini memerlukan pelajar menunjukkan jalan kira. UPSR adalah penanda aras setakat mana kefahaman mereka belajar sepanjang di sekolah renda. Sebenarnya pelajar boleh menjawab jika masa lebih diberikan. Bagaimanapun, ramai netizen membangkang permintaan tersebut memandangkan masa yang diperuntukkan adalah formula sama sejak bertahun dahulu lagi. Jika soalan sekolah rendah pun tidak mampu dijawab, bagaimana pula apabila memasuki sekolah menengah? Malahan pelajar sekarang turut dikritik kerana dikatakan kurang membaca dan membuat latih tubi menyebabkan gagal menjawab dalam masa ditetapkan. Netizen turut mengaitkan punca aplikasi hiburan seperti Tik Tok yang melalaikan antara punca pelajar gagal. Manakala bagi netizen yang terlibat secara langsung dengan pelajar seperti guru dan ibu bapa, mereka memahami bukannya pelajar tidak cukup latih tubi, tetapi soalan KBAT memerlukan fokus dan masa yang lebih memandangkan ia lebih sukar dari soalan UPSR tahun sebelumnya. Jadi, usah bandingkan zaman UPSR tahun 90an, 2000 ke atas dengan tahun 2016 ke atas. Maklumlah zaman berubah, silibus turut berubah. Bukan sahaja sekolah rendah, sekolah menengah juga turut mengalami perubahan iaitu soalan pelajar tingkatan 1 tahun ini telah mempelajari subjek tingkatan empat. "Macam jawab soalan PTD" Isu ini membawa kepada persoalan yang lebih serius iaitu pelajar sekarang tidak tahu asas matematik seperti sifir dan sebagainya. Namun begitu, ia bukanlah masalah sebenar kerana ramai orang dewasa menyatakan soalan Matematik sekarang jauh lebih susah berbanding Matematik ketika dahulu. "Sebab tu wujudnya tembak." Malahan, segelintir netizen turut mempersoalkan tindakan guru tersebut yang membawa isu yang tidak relevan ini. Isu pendidikan seharusnya diberi lebih perhatian oleh semua pihak, kerana generasi pelapis inilah pewaris kita. Jadi, segala permasalahan perlu diteliti supaya ianya dapat diselesaikan seterusnya mencorakkan masa depan yang lebih baik. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|