Gara-gara menuntut cerai, seorang wanita dan anaknya dipukul suami hingga kanak-kanak itu cedera di tangan dan kaki. Harian Metro melaporkan, kejadian berlaku jam 3.30 petang pada 21 Februari lalu di rumah mereka di Jalan Tengah Stulang Baru, Johor Bahru.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, lelaki itu yang juga pemandu teksi tidak dapat menerima apabila isterinya menuntut cerai hingga dia bertindak di luar batasan. “Punca kejadian apabila isteri kedua yang dinikahi pada 18 Ogos 2017 berusia 40 tahun mahu menuntut perceraian dengan suspek, namun lelaki itu tidak dapat menerimanya hingga menimbulkan kemarahan.
“Suspek kemudian masuk ke dalam bilik tidur dan mengambil sebatang rotan berukuran 60 sentimeter di atas almari lalu memanggil anak kandung perempuannya berusia sembilan tahun masuk ke dalam bilik,” katanya. Selain memukul anaknya dengan rotan beberapa kali, suspek juga memukul kepala isterinya dengan al-Quran sebanyak tiga kali. Difahamkan, itu bukan kejadian pertama, malah ia pernah berlaku sebanyak dua kali sebelum ini, di mana kanak-kanak itu dirotan suspek. Namun, tiada laporan polis dibuat mengenai kejadian itu. “Ekoran daripada itu terdapat kesan kecederaan pada bahagian lengan kiri dan betis kiri mangsa,” katanya. Polis menahan suspek sebaik laporan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - CARI
|
ADVERTISEMENT