Lelaki berusia 32 tahun tergamak mengacukan senapang buatan sendiri ke arah bapanya hanya kerana berang ditegur membuat bising. Memetik Harian Metro, suspek mengugut akan menembak bapanya jam 9.30 pagi, di Kampung Tempasuk, Kota Belud pada Ahad lalu.
Difahamkan, senapang buatan sendiri jenis bakakuk itu diacukan di kepala mangsa sebanyak dua kali. Menurut Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, suspek ditahan pada hari sama sejurus pihaknya menerima laporan dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif syabu. Sebelum kejadian, mangsa menegur anaknya yang tiba-tiba menjerit di ruang tamu rumah mereka itu supaya berhenti membuat bising. “Suspek tiba-tiba berang dan mengancam sebelum mengambil selaras senapang bakakuk lalu mengacukan ke kepala mangsa sambil mengugut mahu menembaknya.
“Mangsa yang cemas melihat anaknya tidak tentu arah, segera melarikan diri dan menuju ke balai polis membuat aduan,” katanya. Selain senapang, polis turut merampas sebutir peluru jenis ‘Ball Bearing’ (BB) buatan sendiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1970. - CARI
|
ADVERTISEMENT