Tidak dinafikan, memang ramai yang menjalankan kegiatan memburu secara haram. Apatah lagi jika tiada pantauan ketat dari pihak berkuasa. Di Afrika Selatan, taman negara tertua yang menjadi tempat perlindungan haiwan liar, ialah Kruger National Park yang mempunyai keluasan 2 juta hektar. Ia menempatkan banyak hidupan liar seperti singa, badak dan juga gajah.
Terkini, seorang lelaki didapati maut di Kruger National Park ketika sedang memburu badak. Dia didapati dilenyek oleh gajah sebelum dimakan oleh sekumpulan singa. Justeru, yang tinggal hanyalah sisa sepasang seluar miliknya yang koyak-rabak dan tengkorak tempurung kepalanya sahaja.
Tiga kawannya yang turut berada di tempat kejadian sempat melarikan diri lalu memaklumkan keluarga mangsa akan hal tersebut. Kemudian, keluarga mangsa menyampaikan berita itu kepada pihak taman negara berkenaan supaya pencarian tubuh mangsa dapat dilakukan. Setelah pencarian dilakukan selama dua hari, akhirnya kesan lelaki tersebut ditemui berdekatan jambatan kawasan buaya. Menurut pihak Kruger National Park, melalui jejak yang telah ditemui, mereka mendapati lelaki itu telah pun dibaham oleh sekumpulan singa. Pihaknya juga berkata, mangsa dan kawan-kawannya telah masuk ke kawasan tersebut secara haram dan masuk dengan berjalan kaki sahaja adalah suatu tindakan yang berbahaya dan buktinya mangsa meninggal dunia. Justeru, tiga lagi kawan mangsa telah ditahan dan senapang serta peluru milik mereka telah dirampas. Ada yang berpendapat ini ialah karma kerana cubaan membunuh haiwan liar yang tidak bersalah. Apa pendapat anda? -CARI
|
ADVERTISEMENT