Lelaki disyaki penagih gam maut digilis kereta api selepas dipercayai tidur di landasan, hari ini. Harian Metro melaporkan, kejadian berlaku jam 5 pagi tadi di Kilometer 1.5 Beaufort - Tanjung Aru, berhampiran Chan Funiture, Beaufort.
Mangsa berusia lingkungan 20-an dikatakan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, ketika tiba di tempat kejadian, pemandu melihat objek melintang di landasan kereta api yang disangkakannya sampah berikutan keadaan gelap. “Dalam jarak 20 meter pemandu jelas nampak objek itu adalah manusia lalu menggunakan brek kecemasan hingga menyebabkan kereta api terseret dan menggilis mangsa,” katanya. Tambah Azmir, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan pihaknya mengesyaki mangsa penagih gam.
Mangsa kemungkinan dalam khayal akibat menghidu gam hingga tertidur di landasan berkenaan. Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - CARI
|
ADVERTISEMENT