RM75,000 habis sebab terpedaya dengan janji manis. itu nasib yang dialami seorang cikgu tuisyen yang menjadi mangsa 'love scam' sejak Januari lepas.
Harian Metro melaporkan, ibu tunggal berusia 54 tahun itu mendakwa dia berkenalan dengan lelaki yang mendakwa dari China di Facebook. Katanya lelaki itu memang benar serius untuk bercinta menyebabkan dia tidak mengesyaki apa-apa. “Selepas beberapa hari berkenalan dengan lelaki terbabit, dia menyatakan hasrat untuk meminjam duit RM25,000 kerana mahu membiayai kos rawatan anaknya yang menghidap penyakit buah pinggang. “Lelaki itu beberapa kali merayu kepada saya supaya memasukkan duit dengan segera kerana penyakit anaknya semakin kritikal ketika mendapatkan rawatan di hospital di Hong Kong. “Kerana bersimpati dengan nasib lelaki itu, saya terus memasukkan duit RM25,000 pada 17 Januari lalu selepas dia berjanji akan membayar semula."
Menurut ibu tunggal yang mempunyai anak berusia 27 tahun ini, lelaki terbabit ada menghantar mesej melalui aplikasi WeChat meminta memasukkan duit kerana anaknya perlu menjalani pembedahan di sebuah hospital di India. “Dia merayu dan menangis meminta saya memasukkan duit sebanyak RM20,000 pada 28 Januari lalu kerana bersimpati dengan keadaan anaknya. “Lelaki terbabit berjanji akan membayar balik wang saya apabila datang ke Malaysia. Dia turut berjanji akan berkahwin dengan saya selepas semua masalahnya selesai. “Sebaliknya pada hari dijanjikan untuk datang ke negara ini, dia tidak muncul malah saya menunggu beberapa jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).” Namun tiba-tiba seorang lelaki lain yang mengaku sebagai kakitangan hospital di Hong Kong yang memaklumkan teman lelakinya terbabit dalam kemalangan dan memintanya untuk membuat bayaran kos pembedahan RM30,000 telah menelefonnya. “Dia berjanji akan menjual rumahnya di Hong Kong dan akan menetap di Malaysia. Bagaimanapun, sehingga kini dia tidak lagi berhubung dengan saya menyebabkan saya berasa diri menjadi mangsa penipuan. “Sehubungan itu, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, pada 22 April lalu." -CARI |
ADVERTISEMENT