Fenomena 'Malu Apa Bossku' yang begitu sinonim dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai telah diabadikan oleh pengeluar kereta mainan antarabangsa, Mattel melalui edisi terhad Hot Wheels. Memetik status dalam laman Facebook beliau pada 29 Mei, Najib mengakui beliau sendiri tidak tahu tentang perkara itu sebelum seorang rakannya mengirimkan gambar model skala kecil lori pikap Hot Wheel melalui aplikasi WhatsApp. Pada bahagian pintu lori pikap edisi terhad itu tertera meme 'Malu Apa Bossku' yang memaparkan Najib sedang duduk di atas motosikal sambil memusingkan badan dan muka ke belakang.
Meme yang sama turut dipaparkan pada kertas pelapik bungkusan model lori pikap Hot Wheels tersebut. Najib turut menggalakkan orang ramai yang ternampak mainan Hot Wheels siri 'Malu Apa Bossku' supaya membeli dan berkongsi gambar dalam laman Facebook beliau. Apa pula kata netizen terhadap perkara tersebut? Nampaknya ramai yang memberi reaksi positif. Ada juga netizen yang mengambil kesempatan menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan mengaitkan mainan edisi terhad itu dengan projek terowong dasar laut dan kereta terbang. Seorang netizen mendakwa dia bekerja di kilang Mattel, Seberang Perai, Pulau Pinang dan terlibat dalam pembuatan model edisi terhad 'Malu Apa Bossku'. Semakin popular nampaknya sejak Najib menjadi pembangkang walaupun dahulu ramai yang mencemuhnya ketika masih bergelar Perdana Menteri. - CARI |
ADVERTISEMENT