Apakah perasaan anda apabila mendapati kereta milik orang lain diletakkan sesuka hati tanpa kebenaran di dalam kawasan rumah anda? Sudah tentu ramai yang bengang lebih-lebih lagi apabila kereta yang 'menceroboh' itu menghalang laluan kenderaan kita untuk keluar masuk. Seorang lelaki di Seattle, Washington, Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan drastik apabila berdepan situasi sedemikian. Memetik laporan Q13 Fox baru-baru ini, Dan Smith tidak tahu siapakah yang meletakkan kereta jenis Mercedes milik syarikat perkongsian kenderaan, car2go di pekarangan rumahnya pada 17 Mei lalu.
Apa yang pasti, kereta tersebut tidak dipandu salah seorang penyewa di rumah dupleks miliknya. Jadi, dia mendirikan pagar di sekeliling kereta berkenaan serta menuntut car2go membayar yuran penyimpanan sebanyak ASD65 (RM271) sehari, kos pemasangan pagar ASD300 (RM1,250) dan yuran 'mengganggu' sehingga ASD500 (RM2,080). "Saya sangat bimbang tentang liabiliti. Saya tidak mahu mereka mengundang orang lain masuk ke kawasan hartanah ini. "Bagaimana jika kereta yang dipandu merempuh rumah? Bagaimana kalau ada orang yang cedera?" katanya. Sebelum pagar dipasang, Smith telah menghubungi pihak polis dan syarikat trak penunda, namun tiada pihak tampil untuk mengalihkan kereta itu. Di Malaysia pun ada pemilik rumah yang menghadapi masalah serupa ekoran sikap pemandu mementingkan diri dan meletakkan kenderaan tanpa kebenaran di hadapan rumah orang lebih-lebih lagi ketika musim rumah terbuka dan kenduri kahwin. - CARI
|
ADVERTISEMENT