Seorang pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam Loji Rawatan Air Sungai Linggi di Rantau, Negeri Sembilan pada 14 Jun lalu. Memetik laporan NS Daily, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mahazir Hanif Idrus, 38, dikatakan terjatuh ke dalam kolam takungan yang berlumpur ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan. Penyelia operasi, Pegawai Bomba Kanan II K. Putthisigamany berkata, mayat Mahazir yang beralamat di Felda Selancar 2, Segamat, Johor telah ditemukan pada pukul 3.30 petang.
Terlebih dahulu, pihak SAINS telah menyalurkan air keluar dari kolam takungan yang mempunyai kedalaman kira-kira lima meter. Mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian mempunyai kesan luka pada bahagian muka dipercayai akibat terjatuh. Putthisigamany menambah, lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.34 petang. Operasi mencari turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan bersama golongan yang beriman dan beramal soleh. - CARI |
ADVERTISEMENT