Selfie atau swafoto pertama dunia dipercayai dirakam Robert Cornelius pada Oktober 1839 ketika dia berdiri di pekarangan belakang kedai lampu milik keluarga di Philadelphia, Amerika Syarikat. Peralihan teknologi dan perkembangan penggunaan telefon berkamera serta telefon pintar hari ini menyaksikan swafoto menjadi satu budaya popular di serata dunia. Orang ramai tanpa batasan umur gemar merakam swafoto, memuat naik serta berkongsi gambar mereka dengan pelbagai aksi di media sosial.
Kini, ada satu trend baharu di mana penggemar minuman 'bubble tea' di serata dunia khasnya wanita mula terjebak dengan trend swafoto menggunakan aset kewanitaan mereka bagi mengimbangi minuman popular itu. Memetik laporan Daily Mail, trend yang mula muncul di Jepun tersebut menjadi sensasi dalam tempoh beberapa minggu selepas seorang model wanita negara matahari terbit itu berkongsi satu video di laman sosial. Klip video itu menunjukkan dia sedang menyedut straw daripada bekas minuman yang diletakkan di antara payudaranya. Sejak itu, wanita di serata tempat mula merakam swafoto dan menunjukkan bagaimana mereka menggunakan dada sebagai pemegang minuman. Memetik laporan Asia One, swafoto popular itu sudah tersebar dari Jepun hingga ke Thailand dan Taiwan. Konsep 'bebas tangan' itu membolehkan seseorang meminum dengan hanya meletakkan bekas minuman di antara payudara supaya boleh berswafoto atau melakukan tugas lain. Nampaknya, ada juga di kalangan lelaki turut terjebak dengan trend itu. Namun, golongan Adam menggunakan teknik lain memandangkan mereka tidak memiliki aset kewanitaan. Ada sebilangan lelaki memilih topi sebagai pemegang minuman. Ada juga menggunakan tali pinggang keledar untuk memegang bekas minuman sambil memandu. Sebahagian besar koleksi gaya swafoto seperti itu dikongsikan di Twitter dan Instagram. Sehebat mana pun seseorang wanita berswafoto menggunakan payudaranya sebagai pemegang minuman, mampukah dia tandingi kehebatan Thor gemuk dalam filem Avengers: Endgame? - CARI
|
ADVERTISEMENT