Selepas enam bulan bercuti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kembali bertugas sebagai Presiden UMNO mulai 30 Jun lalu. Memetik laporan UMNO Online, Ahmad Zahid membuat keputusan tersebut sempena genap setahun beliau dipilih sebagai Presiden UMNO oleh para perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara. "Maka, genap setahun ini cukup signifikan dan sangat penting bagi saya, oleh yang demikian, 30 Jun 2019, saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai Presiden UMNO pada hari ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datuk, Perak.
Pengumuman Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu menamatkan spekulasi berhubung kemungkinan beliau terus bercuti sehingga pemilihan UMNO akan datang. Tugas Presiden UMNO selama enam bulan lalu digalas oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dan sepanjang tempoh itu, Barisan Nasional (BN) beroleh kemenangan hatrik dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) di Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih serta DUN Rantau. Sebelum itu, BN tewas kepada Pakatan Harapan dalam tiga PRK di DUN Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia manakala BN tidak meletakkan calon dalam PRK Parlimen Port Dickson. Ramai ahli dan penyokong UMNO berharap Mohamad yang lebih dikenali sebagi Tok Mat kekal menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO berikutan prestasinya yang cemerlang sepanjang enam bulan lalu. Kejayaannya mempertahankan kerusi DUN Rantau walaupun terpaksa berdepan dengan jentera PH yang serba lengkap dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tulang belakang telah melonjakkan populariti beliau dalam kalangan akar umbi parti. Keputusan Ahmad Zahid untuk kembali bertugas itu disambut baik oleh seluruh kepemimpinan tertinggi UMNO termasuk Mohamad sendiri dan beliau berharap agar agenda untuk memperkasakan parti serta menyusun strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dapat diteruskan. Sememangnya perkembangan terbaharu dalam UMNO itu menjadi tumpuan banyak pihak kerana selain PAS, parti tersebut merupakan tulang belakang pembangkang yang cukup kuat untuk berdepan dengan PH. - CARI |
creep_bite: Wak Jahid ni elok berehat smpi PRU 15....ni semua mesti rancangan Bung Nuwar utk dapat blk sokongan UMNO melalui pengaruh Wak Jahid.... :lol ...
ADVERTISEMENT