Polis menahan seorang lelaki dipercayai penuntut sebuah kolej swasta selepas cuba memasuki Kem Rejimen 508 Askar Wataniah di Seremban, kelmarin. Sinar Harian melaporkan, lelaki itu dikatakan mengalami masalah mental dan menyamar sebagai salah seorang anggota berpangkat sarjan sebelum disedari anggota bertugas kira-kira 1.30 tengah hari.
Menurut sumber, lelaki berusia 26 tahun itu mengaku sebagai anggota tentera berpangkat sarjan dari Kor Risik Diraja apabila ditahan pengawal bertugas. Lebih mencurigakan, pemeriksaan badan menemui sebilah pisau, dompet dan kunci kereta. Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak mengesahkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian dan menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut. "Berdasarkan maklumat diperolehi, kita mendapati suspek mempunyai masalah mental. "Dia kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan pihak hospital mengesahkan suspek mempunyai rekod rawatan pesakit psikiatri," katanya. Sementara itu, Utusan melaporkan lelaki terbabit menaiki Perodua Kancil sebelum meletakkannya di luar kawasan kem dan berjalan kaki ke pos pengawal. Difahamkan, suspek kini ditempatkan di wad psikiatri untuk rawatan lanjut. - CARI
|
ADVERTISEMENT