Instagram merupakan salah sebuah platform yang diwujudkan khas untuk pengguna berkongsi gambar mengenai apa saja kepada umum. Macam-macam perkara boleh dikongsi seperti gambar percutian, makanan dan pelbagai lagi. Hampir kesemua orang yang mempunyai telefon pintar pasti mempunyai aplikasi ini dalam telefon mereka dan seolah menjadi satu keperluan.
Malah, kini ramai pula yang menjana pendapatan melalui instagram dengan bergelar instafamous berdasarkan jumlah 'like' dan 'view' profil mereka. Bukan calang-calang ya pendapatan yang boleh dijana melalui instagram ini, kadang-kadang tu boleh mencecah ribuan ringgit hanya dengan sekali 'review' produk! Baru-baru ini, instagram telah mengumumkan untuk menyembunyikan jumlah 'likes' dan 'view' di instagram dan hanya boleh dilihat oleh pemilik akaun tersebut. Walaupun masih dalam tahap ujikaji, ianya baru diuji di beberapa buah negara iaitu Australia, Brazil, Canada,Ireland, Itali, Japan & New Zealand. Jumlah tanda suka pada foto dan video telah disembunyikan secara automatik.
Menurut jurucakap pihak Instagram, langkah tersebut dilakukan untuk membuatkan para pengguna lebih tertumpu kepada subjek foto yang dipaparkan tanpa perlu mengambil berat tentang jumlah 'likes' yang diterima. "'Likes' yang diperolehi seolah menjadi satu ketagihan apabila seseorang memuat naik gambar ke Instagram. Umum melihat 'likes' tersebut sebagai salah satu metrik kejayaan dan memperlekehkan mereka yang mendapat 'likes' sedikit. Ada juga yang membeli 'likes' untuk kelihatan menonjol berbanding pengguna lain." "Jadi fungsi baru ini mungkin akan merubah pemikiran pengguna. Kami akan mencuba fungsi ini ke beberapa negara lain untuk melihat pengalaman mereka." Instafamous di Malaysia yang cari makan melalui platform instagram ini boleh bertenang dulu kerana ianya masih belum diuji di sini. Kalau dah dilancarkan nanti harap bertabah la ya semua! - CARI
|
ADVERTISEMENT