Lelaki mengaku salah mencuri RM50 di dalam kereta milik seorang pendaki di Bukit Besar, Terengganu, dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan. Sinar Harian melaporkan, Mohd Nor'Azmi Zulkifli, 34, membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Mengikut pertuduhan, kira-kira jam 9 pagi pada 30 Julai lalu, tertuduh didakwa mencuri RM50 di dalam Proton Iswara milik Kamarul Muda, 46, di kawasan parkir di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu. Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama. Manakala, bagi kesalahan kedua Mohd Nor'Azmi boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes, ketika kejadian, Kamarul yang turun dari bukit berkenaan dan menuju ke keretanya melihat seorang lelaki tidak dikenali (tertuduh) sedang duduk di tempat duduk pemandu sambil menyelongkar keretanya.
Sebaik ditegur pengadu yang kemudian memberitahu kereta itu miliknya, tertuduh melarikan diri dengan sebuah Perodua Viva berwarna putih yang diletakkan di kawasan berhampiran. Apabila diperiksa, pengadu mendapati RM50 sudah hilang dipercayai dicuri tertuduh. - CARI
|
ADVERTISEMENT