Pada zaman moden ini, tarikh kelahiran anak sememangnya lebih mudah untuk dijangka bagi seseorang ibu mengandung. Bagaimanapun, masih ada kejadian di mana tarikh jangkaan itu meleset menyebabkan ramai ibu-ibu bersalin lebih awal di rumah tanpa sebarang persediaan.
Bagaimana jika pegawai perubatan yang dipanggil semasa kecemasan tidak sempat datang dan yang menemani si ibu ketika itu hanyalah si suami? Inilah yang berlaku kepada seorang lelaki, Fahmi Jamil yang terpaksa menyambut sendiri kelahiran anaknya di rumah. Fahmi berkongsi pengalaman itu di Facebook dan mendapat respons ramai netizen. Fahmi dan isterinya Noor Kamila Abdullah menjangkakan anak kedua mereka akan dilahirkan pada 24 September, tetapi pada subuh 15 September isterinya mula rasa sakit dan dikejarkan ke hospital yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka di Kedah. Bagaimanapun doktor menyatakan isterinya belum menunjukkan tanda akan bersalin dan membenarkan mereka pulang. Untunglah Fahmi memutuskan untuk menemani isterinya hari itu kerana setibanya di rumah tiba-tiba Noor Kamila menjerit dari arah bilik air. 'Abang, baby dah nak keluar!' jerit isterinya. Mula panik, Fahmi menelefon 999 dan disambungkan kepada kakitangan hospital yang menenangkannya. 'Dia menenangkan saya dan memberikan panduan bagaimana menyambut kelahiran bayi termasuk posisi dan sebagainya,' kata Fahmi Hasilnya, setengah jam kemudian Noor Kamila melahirkan bayi perempuan mereka dengan selamat. Ambulans juga tiba tidak berapa lama kemudian dan membawa ibu dan anak ke hospital. Fahmi juga sempat berterima kasih kepada kakitangan hospital yang membantunya melalui talian kecemasan. Kisah perkongsian Fahmi di facebook juga sempat mendapat perhatian orang kuat JKN Kedah, Dato Dr Norhizan Ismail yang mengucapkan tahniah kepada beliau. Pastinya satu pengalaman manis untuk menyambut kelahiran anak sendiri. Tahniah buat Fahmi kerana berjaya melakukannya dengan tenang. - CARI
|
ADVERTISEMENT